Tuesday, May 7, 2019

Resepi Ayam Masak Bali

Hari ini hari kedua kita berpuasa. Bagaimana agaknya ragam Arissa hari ni. Semalam, balik dari sekolah dia banyak merengek nak minum. Haus sangat katanya. Minta kebenaran dari saya nak pecah puasa satu hari je sebab nak minum dah haus sangat. Hihi.

Memang tak dinafikan pun. Cuaca panas kan. Memang haus. Kalau saya yang tua ni pun terasa hausnya, inikan pula anak-anak. Apa pun, alhamdulillah. Berjaya juga puasa semalam. Setelah banyak kali juga emak ni kata, "Kakak nak syurga tak? nak syurga kan. dari sekarang la." Arissa jawab dengan muka masam, "mesti la nak". Hehe.

Ramadhan. Bulan yang dinantikan oleh semua. Bulan istimewa yang kita berebut-rebut tambah pahala. Bulan yang semua berebut-rebut nak beribadah. Juga bulan yang ramai emak yang bersemangat nak masak untuk keluarga lebih dari bulan-bulan sebelumnya. Hehe. Ini saya. Sungguh. 30 Syaban hari tu saya masak istimewa sikit sebab nak sambut puasa kan. Mak saya dulu kalau esok nak puasa, hari ini akan masak lain dari biasa. 

Yang istimewa hari itu ialah Ayam Masak Bali. Biasa bagi orang lain tapi istimewa bagi saya yang baru masak kali kedua ayam masak bali ni. Bayangkanlah, sampai suami saya lupa yang saya pernah masak ayam ini suatu ketika dahulu. Hihihi. 

Bahan-Bahan:
1 ekor ayam
8 batang serai
6 tangkai daun kari
7 bawang merah besar
1 labu bawang putih
2 inci halia
2 inci belacan
1 mangkuk cili kisar
Kicap
Garam
Gula

Maaf, tak ada pula gambar bahan-bahan. Tapi, bawang merah tu kan besar-besar saya pilih sebab saya nak lebih 'kuah'. Cili kisar tu bagi saya lagi syok kalau yang kita blend sendiri. 

Cara-Caranya:

1. Goreng ayam yang dah digaul dengan kunyit dan garam. Goreng tak perlu sampai garing ye. Bagi juicy gitu kata Cik Epal. Gambar yang dah digoreng tak ada rupanya. Hihi.



2. Sambil menggoreng ayam, blend semua bahan-bahan yang perlu dikisar iaitu; bawang merah, bawang putih, halia, belacan dan saya masukkan sekali cili kisar. 


3. Dah siap goreng ayam, kita mulakan menumis. Guna minyak yang goreng ayam tadi tau. Kita mulakan dengan masukkan serai 8 batang yang dah diketuk. Sampai kekuningan. 


4. Lepas tu kita masukkan daun kari dari 6 tangkai itu. Hingga garing. Macam mana garing? Nanti daun kari ni macam daun kering. Tak reti nak terangkan tapi tahu lah nanti bila dah garing tu. 


5. Serai dah kuning coklat. Daun kari dah garing. Kita masukkan bahan-bahan yang dah dikisar tadi. Gaul-gaul jangan bagi hangus kat tengah kuali. Sampai pecah minyak.


6. Bila dah pecah minyak, masuk kicap manis, garam, gula secukup rasa. Dah elok sedap manis, masin dan pedas tu. Masukkan ayam dan gaul rata. Biarkan dalam 15 minit. Jangan biar macam tu je ok. Gaul-gaul juga  bagi rata semua ayam. 


7. Dah siap, pindahkan dalam mangkuk cantik dan ambil gambar! Hehe. Siap, dah boleh makan. Makan dengan nasi panas. Pasti terangkat!

Ayam Masak Bali
Dalam menaip ni, teringat-ingat pula. Saya dah siap frozen dua bekas. Hehe. Sebab saya memang berselera makan lauk 'kering' macam ni. Sesuai untuk dijadikan lauk bersahur. 

Resepi asal ni dari Cik Epal tau. Cuma bahan tu saya banyak lebihkan sebab sejenis suka 'kuah' banyak lepas tu orang kampung sangat katanya belacan kena lebih. Hihi. Nak tengok resepi asal, boleh klik kat nama Cik Epal atas tu.

Salam Ramadhan semua. 

Assalammualaikum buat semua yang singgah disini.
Semoga kalian dapat sesuatu yang baik.
Yang baik datangnya daripada Allah,
Yang buruk dari saya sendiri.
♡ Yatie ♡

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Copyright © My Name Is Yatie Designed by azhafizah.com