Wednesday, April 24, 2019

Resepi Makaroni Goreng

Minggu lepas dalam perjalanan nak ke pejabat saya dengar radio Kool FM. Topik pada hari tersebut ialah, "rugi belajar tinggi-tinggi tapi jadi suri rumah". Kebetulan masa tu ada seorang emak yang call berkongsi cerita. Seorang emak yang ada anak perempuan yang jadi suri rumah.

Katanya sekarang anak dia call dia sebab nak belajar masak itu nak masa ini. Itu je. Dia rasa anak dia tak berkembang bila dah jadi suri rumah. Dia kata anaknya itu seolah tidak menghargai dia sebab setelah berbelanja puluhan ribu untuk pengajian anaknya, setelah sama-sama bersengkang mata serta susah payah sepanjang pengajian akhirnya sekarang anak dia jadi suri rumah.

Saya yang mendengar, meletakkan diri dalam situasi dia sebagai seorang emak. Ya, dia telah berhabis untuk anaknya melanjutkan pelajaran tanpa anak perlu buat pinjaman PTPTN atau yang sewaktu dengannya.  Dia meletakkan pengharapan supaya nanti anak itu akan jadi seorang yang berkerjaya. Tetapi, akhirnya anak itu menjadi suri rumah yang tiada punca pendapatan.

On the other side, sekiranya saya anak kepada emak ini. Sedihnya emak saya kata macam tu. Sedihnya emak saya kecewa dengan saya. Sedihnya seolah emak saya seolah mengungkit setiap pengorbanannya pada saya. Sedihnya emak kata saya tak menghargai dia. Sedihnya saya rasa saya seolah anak yang tidak berguna. 

Saya doakan semoga emak ini redha akan segalanya ke atas anaknya. Semoga jua anaknya walaupun bergelar suri rumah tapi tetap jua dapat membanggakan orang tuanya. Semoga kita semua sentiasa dalam redha Allah SWT.


Resepi Makaroni Goreng Mudah

Menu makan malam kami hujung minggu lepas. Sebenarnya, buntu memikirkan apakah menu sehari-hari. Hihi. Saya kongsikan disini cara masak makaroni goreng yang mudah.

Bahan-bahan:
1/2 peket Macaroni (rebus hingga empuk)
4 ulas bawang putih (cincang)
1 biji bawang holand (potong dadu)
5 batang cili padi (potong)
100gram ayam kisar
4 batang sosej (potong bulat²)
Parsley leaves
Mixed Herbs

Cara-cara:
1. Goreng ayam kisar dahulu. Kemudian, asingkan.
2. Tumis bawang putih sampai naik bau. Kemudian, tumis bawang holand dan cili potong.
3. Masukkan ayam kisar yang telah digoreng dan sosej. Masukkan garam, secukup rasa, sedikit parsley dan 1 sudu teh mixed herbs.
4. Masukkan macaroni dan gaul rata.
5. Siap!

Arissa kata tak nak makan. Nak makan macaroni dengan sos merah. Tapi bila dah makan, dia tambah 2 kali. Hihi.

Alhamdulillah, pastinya saya gembira.

Read more>>>

Saturday, April 20, 2019

Resepi Bubur Kacang Hijau

Saya jarang masak bubur. Rasanya belum cukup sepuluh jari ini kalau dikira berapa kali. Hihi. Tetapi, atas sebab bulan April ni sahaja dah dua kali saya masak bubur kacang hijau makanya saya nak berkongsi disini juga.

Kakak-kakak di pejabat gelak bila saya cerita saya terpaksa Google dahulu sebelum nak masak bubur kacang hijau ni dengan keyword 'resepi bubur kacang hijau tanpa rendam'. Hahaha. Mujur ada Google.

Kalau masak dalam kuantiti yang sedikit, saya rasa tak apa tak rendam. Sebab tak lah lama sangat nak lembut kacang hijaunya. Saya masak dalam anggaran 1 1/2 cawan kacang hijau je.

Cara Masak Bubur Kacang Hijau

Bahan-bahan yang diperlukan ialah;
Kacang hijau 1 1/2 cawan
Sagu 1/2 cawan
Santan 1 kotak
Gula pasir
Gula melaka
Air

Cara-cara nak masak;
Dalam 2 bekas berasingan, rebus sagu dan kacang hijau.
Sagu dan jernih, tapis dan lalukan dengan air kemudian masukkan ke dalam bekas kacang hijau.
Dah separuh masak kacang hijau tu, masukkan santan. 
Kemudian masuk kan sedikit gula pasir dan juga gula melaka. Oh ye! Buh secubit garam jugak.
Dah cair gula melaka, tutup dan makan!

Mudah kan? InshaAllah sedap. Hehe. Kalau ada daun pandan, bolehlah masukkan sekali masa rebus kacang hijau. Lagi best lah haruman bau daun pandan tu kan.

Sebenarnya tadi masa tengah rebus tu teringat durian. Sedap kan kalau letak durian. Tetapi, masa call suami yang keluar ambil anak balik dari taekwando dorang dah sampai rumah. Huhu. Tak ada rezeki nak jadi bubur durian. Petanda nak kena masak lagi sekali agaknya. Hihi. 


Tadi makan bubur kacang hijau dengan biskut Munchy's. Nikmatnya tak terkata. Bergegar lemak gembira. Hahaha. 

Read more>>>

Monday, April 15, 2019

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019

Ahad lepas, 7 April 2019 kami suami isteri menunaikan hasrat Arissa nak ke pesta buku lepas tengok iklan di komik Ana Muslim. Dah anak mahu, kenapa tidak kita tunaikan. Kan? Nak dia pilih buku yang dia nak sendiri. Nak buat dia rasa teruja bila tengok buku-buku yang banyak sepertimana emak dia yang sangat teruja bila nampak himpunan buku-buku. Allahhuakbar. Terapi.

Kami sampai awal. Booth semua tak buka lagi. Bila dah buka, kami terlajak naik ke tingkat 4. Rezeki emak rupanya. Jumpa booth publisher MustRead. Disitu saya beli buku Filosofi Bawang tulisan Anie Alja dan juga Parents, Welcome to my World tulisan Adlil Rajiah. Lengkap koleksi buku saya dari kedua penulis ini. Alhamdulillah. Seronok sangat. Hihi. 



Pada ketika saya membelek buku-buku di booth ini, maskot lalu. Aflah teruja dengan maskot tu dan kejar. Katanya Ana Muslim. Tapi sebenarnya ini maskot Majalah Asuh; Kak Anis. Cepat-cepat saya bayar. Adik jalan laju di hadapan. Tengoklah tu, nampak terujanya dia tengok maskot tu. Hehe. 


Inilah buku-buku yang dibeli. Arissa seronok sangat bila dah di booth Ana Muslim. Target dia nak dapatkan komik Ana Muslim. Suka baca komik katanya. Kami biarkan dia pilih sendiri buku apa yang dia nak. Arissa pilih 3 buah komik, percuma paper bag Ana Muslim. Dah cukup seronok tengok dia. Aflah pula seperti biasa buku ABC dan 123. Sampai rumah, habis terus sticker di dalamnya. 


Ini buku untuk saya. Ada satu yang percuma. Semoga tidaklah ia menjadi sia-sia elok tersusun di atas rak sana. Semoga saya juga semakin baik dalam pengurusan masa.

Read more>>>

Wednesday, April 3, 2019

Dan Bila Tiada Pilihan

Ada suatu hari kita tak berupaya untuk memilih. Bukan tidak mahu memilih tetapi tak diberi pilihan yang kita mahu. Ya, semua orang ada kemahuannya sendiri bukan?

Siang tadi tengah asyik menaip laporan analisa, tiba-tiba komputer 'hang'. Terhenti disitu. Saya dah mula rasa gelisah. Saya tinggalkan komputer jumpa kawan dengan harapan supaya Microsoft Word saya pulih seperti sediakala. Berharap supaya Microsoft Word autosaved sehingga ke akhir huruf yang telah ditaip. Hehe. Tinggi harapan saya.

 

Namun begitu, ia tinggal harapan. Saya masuk ke bilik semula dan diberi pilihan yang langsung tidak memihak kepada saya. Kedua-duanya minta untuk saya 'restart'. Allahhuakbar. Bagaimana laporan saya tadi. Sampai mana agaknya laporan disimpan. Takut nak buat pilihan. Haha.

Tapi sesungguhnya saya tak ada pilihan yang lain. Saya mesti pilih salah satu. Saya kena selesaikan masalah ini juga. Tak ada gunanya dibiarkan begitu lama.

Saya kurang mahir buat laporan. Nak mendapatkan satu ketika yang idea mencurah-curah sangatlah payah. Restart Microsoft Word cuma ambil masa 1 minit. Tapi nak restart saya mengarang laporan semua, Ya Allah. Moga-moga esok saya berjaya siapkan laporan itu.

Setelah buat pilihan, saya hanya dapat kembali separuhnya darinya. Kecewa, tapi saya biarkan ia singgah sebentar sahaja. Pastinya Allah merencanakan sesuatu yang lebih baik. Saya baca yang separuh tinggal itu, ada terselit emosi disitu. Haha. Siapa kata laporan kuantitatif tak boleh diselit dengan emosi? Betul lah. Allah tak nak saya berterusan menulis laporan yang tak betul.

Jadi, kenapa perlu nak berlama-lama tertekan dek kerana satu hal yang kecil? Saya sendiri sedang belajar untuk sepenuhnya dalam setiap hal, kembali kepada Allah SWT. Semuanya adalah dari Dia. Tidak ada satu perkara pun boleh berlaku tanpa izin Dia. Betul ke sangat betul?

Begitulah jua dalam apa sahaja kehidupan kita sehari-hari. Ada ketika sememangnya kita tidak ada pilihan. Seperti peribahasa Melayu, "ditelan mati emak, diluah mati bapak". Cuma jangan kita biarkan hal kecil ini menguasai diri hingga buat kita berkata yang tidak baik / bertindak yang tidak betul. Turn back to Allah SWT.

Read more>>>

Popular Posts

Copyright © My Name Is Yatie Designed by azhafizah.com